Oct 24, 2024 - FASTiga mata seterusnya diraih Selangor FC dalam perlawanan saingan AFC Champions League Two (ACL2) 2024/25 Kumpulan H menentang Jeonbuk Hyundai Motors F.C. dengan keputusan 2-1 di Stadium MBPJ, Kelana Jaya, Malaysia semalam.
Keadaan pasukan dengan ketiadaan beberapa pemain tonggak Gergasi Merah, menentang Jeonbuk Hyundai Motors F.C. yang berjaya mengutip enam mata penuh daripada dua perlawanan ACLTWO 2024/25 sebelum ini, menjadi satu debaran. Separuh masa pertama, Jeonbuk beraksi dengan penuh tersusun dan berdisiplin, namun, Harith Haiqal, kapten muda Gergasi Merah, telah berjaya menambah keyakinan rakan sepasukan dengan menyudahkan bola reflek daripada Umarbek Eshmurodov pada minit ke-31 hasil daripada sepakan penjuru Yohandry Orozco. Dua minit kemudian, Ali Olwan menjaringkan gol kedua Merah Kuning selepas menerima hantaran ? daripada Nooa Laine, sekaligus meletekkan Selangor FC di hadapan. Perlawanan terus menjadi sengit apabila Kwon Chang-Hoon berjaya menjaringkan gol tunggal Jeonbuk Hyundai Motors F.C. pada minit ke-40. Percubaan demi percubaan daripada kedua-dua pasukan berlaku dalam separuh masa kedua bagi mengubah keputusan perlawanan, walau bagaimanapun, Gergasi Merah berjaya mendapatkan kemenangan kedua dalam saingan ini dengan keputusan 2-1.
Ketua Jurulatih Selangor FC, Nidzam Jamil, menzahirkan rasa gembira dengan persembahan yang dipamerkan oleh para pemain.
“Saya merasakan ini merupakan sebuah perlawanan yang sangat menarik untuk para penyokong. Saya ingin mengucapkan tahniah kepada pemain, mereka layak dapatkan kemenangan ini kerana mereka telah bekerja keras untuk mendapatkannya. Walaupun kita kehilangan beberapa pemain penting dalam perlawanan besar ini, saya dapati mereka yang bermain, menunjukkan etika kerja yang sangat baik dalam perlawanan itu.Selain itu, berdasarkan tektikal, pemain sangat berdisiplin. Saya gembira dengan apa yang mereka tunjukkan terutamanya pemain-pemain yang masuk dalam separuh masa kedua seperti Haiqal Lau, Danial Asri dan Sharul Nazeem yang mengekalkan tempoh tinggi di separuh masa kedua, bukan satu perkara yang mudah.” Kata beliau
Daripada perlawanan #SFCJBH dalam saingan AFC Champions League Two (ACL2) 2024/25 semalam, beberapa perkara penting dapat dilihat, seperti:-
Gol pertama Ali Olwan dalam saingan ACLTWO 2024/25 membawa tuah
Pemain import baharu Selangor FC, Ali Olwan, telah beraksi dengan cemerlang dalam perlawanan semalam. Beliau berada di tempat yang sepatutnya pada waktu yang tepat, tekanan yang diberikan memberi ancaman yang tinggi kepada pasukan lawan. Ali akhirnya berjaya menjaringkan gol pertama beliau dalam saingan ini selepas menyudahkan hantaran Nooa Laine pada minit ke-33. Jaringan tersebut telah mengesahkan kemenangan Gergasi Merah pada malam semalam sekaligus membantu beliau dinobatkan sebagai Man of The Match #SFCJBH.
Harith Haiqal tampil tenang sebagai kapten muda pasukan
Berpengalaman sebagai seroang kapten pasukan bersama skuad kebangsaan bawah 19 tahun, 23 tahun, Selangor 2 dalam saingan Liga Premier dan Selangor bawah 23 tahun, Harith telah mendapat kepercayaan Nidzam Jamil bagi menggalas tanggungjawab sebagai ketua pasukan buat kali pertama bersama skuad utama Selangor FC dalam saingan ACLTWO 2024/25, menggantikan Safuwan Baharudin, yang mengalami kecederaan baru-baru ini. Bukan sahaja cemerlang menjalankan tanggungjawab sebagai kapten pasukan, beliau juga merupakan individu pertama yang membuat stadium MBPJ bergema memberi serta harapan yang cerah kepada penyokong dan pasukan dengan jaringan gol beliau pada minit ke-31.
Nikola Jambor dan Mohammad Abualnadi
Persembahan dua pemain baharu Nikola Jambor, pemain tengah dan Mohammad Abualnadi, bek kanan, beraksi kali pertama sebagai pemain kesebelasan utama dalam saingan ACLTWO 2024/25. Kedua-dua mereka telah beraksi dengan cukup cemerlang dalam memastikan tiada ruang bagi pasukan lawan melakukan menyerang serta terlibat dalam gerakan serangan.
Walau bagaimanapun, pujian harus diberikan kepada kesemua pemain yang telah beraksi dalam perlawanan #SFCJBH. Setiap pemain memainkan peranan yang penting dalam mengenggam tiga mata ini.
Selangor FC juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada 7,258 penyokong yang telah hadir ke Stadium MBPJ semalam. Sokongan anda sudah semestinya memberi suntikan positif kepada para demain.
Setakat ini, Selangor FC merupakan pendahulu kedudukan saingan ACLTWO 2024/25 Kumpulan H dengan tujuh mata terkumpul, tempat kedua adaalah Jeonbuk Hyundai Motors F. C. Dengan enam mata, kemudian Muangthong United F.C dengan empat mata serta Dynamic Herb Cebu F.C. dengan ssatu mata terkumpul.
Seterusnya, kelab Gergasi Merah akan menentang Johor Darul Ta’zim pada hari Ahad ini (27 Oktober 2024) jam 8:15 malam bagi saingan Liga Super di Stadium MBPJ. Dapatkan tiket anda di laman web rasmi Selangor FC bermula pada jam 9 malam ini.
Demi Kebanggaan!